Tuesday, June 21, 2011

Bantal.



Semenjak aku dilahirkan, aku telah dijaga dan diasuh oleh mak tok dan wan di kampung. Mak tok ialah ibu aku, wan ialah ayah aku, mak cik ialah kakak aku dan nyang ialah nenek aku. Aku ditatang dengan penuh kasih sayang sehinggalah ibu dan ayah bawa aku pulang ke Kuala Lumpur ketika aku berusia 6 tahun. 


Segala memori masih segar hinggalah aku pulang ke kampung pada minggu lepas.
Dia, moyang.


Aku masih punya moyang. Berusia 108 tahun. 


Secebis sisa hidup aku pernah aku luangkan bersama dia. Bagi aku moyang ialah insan istimewa dalam hidup aku. Insan yang tak pernah lupa untuk mendoakan aku untuk berjaya. 


Semasa aku dilahirkan, aku dihadiahkan seekor bantal peluk berbentuk ikan. Itu merupakan hadiah daripada arwah moyang lelaki. Kata moyang, bantal itu dibeli sebelum aku dilahirkan semasa dia menunaikan Haji di Mekah. Bantal itulah yang sering menjadi teman aku ketika aku tidur semenjak aku kecil lagi. Ada kala ketika aku sedih, aku akan bercakap dengan bantal ikan tu kerna aku tahu moyang akan dengar isi hati aku walaupun dalam keadaan jarak yang jauh. Hingga aku dewasa aku tatang bantal walaupun ia sudah berada dalam keadaan yang nazak. Walau kemana pun aku pergi, bantal tu akan sentiasa ada dengan aku. Walau satu malam pun aku tak boleh lepaskan. Pernah satu ketika, bibik basuh bantal tu. Katanya bantal tu dah berbau busuk. Dengan secara rasmi bibik dapat makian percuma dengan aku. Bagi aku, dia telah membasuh segala memori aku bersama dengan bantal tu. Sejak dari kejadian tu, bibik langsung tak berani nak usik lagi bantal tu. 


Aku berusia 17 tahun. Saat itu aku baru sahaja pulang bercuti bersama ayah dari Indonesia. Aku sampai ke rumah ketika waktu malam. Mungkin aku penat ketika itu lalu aku masuk ke bilik untuk tidur. Tapi aku sedar bahawa bantal peluk ikan aku dah tak ada atas tilam saat itu. Aku tak berfikir panjang lalu teriak nama ibu kerna aku tahu hanya ibu seorang sahaja yang tak suka dengan bantal tu. Kata ibu, aku dah besar, sudah tak perlukan bantal itu lagi. Saat aku tanya ibu mana hilang bantal aku, ibu menjawab "Ibu dah buang dalam tong sampah". 


Aku terduduk. Menangis bagai nak gila. Ibu buang nyawa aku. Nyawa yang moyang kirim untuk temankan aku ketika aku jauh dari dia. Seminggu lebih aku tak bersapa dengan ibu. Sesungguhnya aku nak ibu tahu yang aku sayangkan bantal tu sama macam aku sayang ibu.


Hari ini aku teringat dekat bantal ikan. Walaupun mungkin kau dah hancur di tapak pembuangan sampah, aku tetap akan ingat kau bantal. Moyang, maaf kerna aku tak dapat menjaga bantal pemberian moyang dengan baik. Aku rindu moyang. Kalau diizinkan aku nak jaga moyang sampai aku tutup mata. Terima kasih untuk segala doa yang selalu moyang baca. Walaupun aku tak pernah cakap yang aku sayang moyang tapi aku nak moyang tahu yang wajah suci moyang dah terukir dalam hati aku. Insan yang mengajar aku untuk harungi hidup dengan tabah ialah engkau. 


Seekor bantal berbentuk ikan, aku rindu kau.
Sungguh.