Tuesday, November 1, 2011

Anak kecil.



Sedang aku menunggu Pak Cung mengerjakan solat Jumaat bersama Ibu Ike Widuri di Masjid As Syakirin. Aku duduk bersila di bahu jalan sambil menghadap rumah Allah yang tersergam indah. Sedang aku asyik melihat umat Islam menuju ke masjid untuk menunaikan solat, lalu datang beberapa orang kanak-kanak yang menarik perhatian aku.


Kecil budaknya. Berketinggian pinggang aku. Sedikit comot dan tidak terurus. Dia tidak berseliper dan hanya memegang sebuah bekas minuman kosong di tangan. Dengan meghisap jari manis sebelah tangan kiri di mulut dan tangan kanan memegang bekas air, dia mencelah di kesesakan orang ramai dengan harapan ada yang sanggup menghulur sesen dua. Akan terukir senyuman di wajahnya apabila ada tangan suci yang sanggup menghulurkan duit kertas berwarna biru mahupun beberapa keping duit syiling. Itu sudah memadai. Apa yang menarik perhatian aku, si kecil itu tak mengenal erti penat apabila sanggup berdiri berjam jam di bawah terik panas untuk mencari sesuap nasi. Kalau aku berada di tempat dia, aku terfikir bagaimana aku harus berhadapan dengan masyarakat. Bukan semua yang sanggup menghulur malah ada yang hanya memandang dengan sebelah mata. Mungkin kerana dia masih kecil dan dia belum mengerti sebab itu dia tak merasa. Aku terdetik, di manakah ibu dan bapa tersebut. Apa tidak sekolah ke budak kecil itu? Di mana tempat dia berlindung? Bermacam macam soalan yang timbul. Tapi hanya dia seorang sahaja yang tahu jawapannya. Aku bangkit untuk mencari tempat berteduh yang lain, dan aku sempat menghulur sekeping RM1 dan sedekahkan senyuman buat dia. Moga dia ketemu impian yang dia ingin sama seperti kanak-kanak yang lain. Jaga diri ya adik.